Jumaat, 3 Februari 2012

Shahrizat Selesai Bercuti Dan Siasatan Mengenai NFC pun Hampir Selesai.




KUALA LUMPUR: siasatan dakwaan penyelewengan dalam Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata segala keterangan mereka yang terlibat telah diambil, manakala dokumen berkaitan pula telah dikumpulkan.

"Siasatan ini akan selesai bila-bila masa sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Jumaat.

Mustafar yang mengetuai pasukan khas bagi sebarang kes berkaitan NFC, bagaimanapun enggan mengulas sama ada SPRM telah mengambil keterangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan suaminya yang juga Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

"Saya tidak mahu komen. Mereka yang terlibat akan dipanggillah," kata Mustafar.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dilapor berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2010 tidak ada menyebut perkataan seperti "kucar-kacir", "in a mess" atau penyelewengan dalam laporan audit projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan. Sebaliknya kata Ambrin, perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan adalah pencapaian projek NFC sejak penubuhannya pada 2006 dan bukan NFCorp sebagai sebuah syarikat.

Isu NFC berbangkit ekoran laporan audit itu dan disusuli dengan dakwaan pembangkang bahawa berlaku penyelewengan dana NFC yang dikaitkan dengan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang. -BERNAMA

Sebelum ini:

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti tiga minggu daripada tugas menteri bermula hari ini dilihat sebagai rancangan meredakan keadaan oleh Putrajaya buat Ketua Wanita Umno dan partinya ekoran penyelewengan dana kerajaan melalui syarikat penternakan yang dibiayai kerajaan, demikian menurut kenyataan satu sumber dalaman.

The Malaysian Insider difahamkan pentadbiran Najib merasakan itu adalah langkah terbaik dalam situasi sekarang walaupun sesetengah pihak beranggapan cutinya itu atas dasar rasa bersalah terhadap skandal projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Turut berkemungkinan tindakan akan diambil terhadap suami dan anak-anaknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis selesai menjalankan siasatan terhadap projek bernilai RM250 juta yang memperolehi pinjaman mudah pada 2008.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan terdapat kecelaruan di dalam projek tersebut.

“Keputusan Shahrizat (gambar) untuk bercuti adalah perkara terbaik untuk Umno dan memberikan nafas lega kepada pentadbiran Najib,” menurut sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, pegawai kanan kerajaan telah berbincang berkaitan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mencadangkan kepada Shahrizat untuk mengambil cuti pendek.

“Shahrizat pada mulanya enggan, tetapi kemudiannya bersetuju untuk mengambil cuti,” tambahnya.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ini dalam kenyataannya semalam berkata dia telah meminta Najib untuk membenarkannya bercuti selama tiga minggu bermula hari ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah memohon bercuti rehat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selama tiga minggu bermula 13 Januari 2012 daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/shahrizat-bercuti-bolehkan-putrajaya-redakan-kemelut-nfc/

*Shahrizat Selesai Bercuti Dan Siasatan Mengenai NFC pun Hampir Selesai…Adakah ini kebetulan..???

Atau sudah ada ruang untuk lembu-lembu dikondo terlepas bebas merangut…hehehe…


Tiada ulasan:

Catat Ulasan