Jumaat, 10 Mei 2013

Selamat Bersara Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar - 17 Mei ini



KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar akan bersara wajib pada 17 Mei ini dan bukan meletak jawatan kerana desakan parti politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata penyebaran berita mengenai perletakan jawatan Ketua Polis Negara di media sosial dan blog adalah fitnah dan berniat jahat.
Majlis persaraan Ismail akan diadakan sehari sebelum tarikh persaraannya, kata Ramli dalam kenyataan pada Jumaat.
Ramli turut menegaskan bahawa keadaan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman adalah aman tanpa sebarang kekecohan atau huru-hara seperti yang didakwa di laman sosial.
Justeru orang ramai diingat agar tidak mempercayai fitnah yang disebarkan atau menjadi sebahagian daripada penyebar fitnah dengan memanjangkan dan berkongsi dakwaan yang tidak berasas itu di laman sosial.
"Adalah diingatkan individu yang terlibat dalam menyebarkan maklumat palsu dan berbaur hasutan ini boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Sekyen 4(1) Akta Hasutan," katanya.
Ismail memegang jawatan tertinggi dalam tampuk kepimpinan PDRM sejak 13 September 2010 apabila beliau menggantikan Tan Sri Musa Hassan.
Perkhidmatan Ismail disambung dua tahun secara kontrak setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan