Khamis, 5 September 2013

Nyelayang Jamban Terbakar 270 Hilang Tempat Tinggal


SIBU, 5 Sept - SIBU - Seramai 270 penghuni rumah panjang 'Rh.Nyelayang Jamban' tinggal sehelai sepinggang setelah rumah panjang 30-pintu milik mereka musnah dalam kebakaran di Nanga Sekuau, kira-kira 45km dari sini, hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, hampir kesemua penghuninya tidak berada di rumah panjang itu kerana sudah keluar bekerja.
   
Menurut kenyataan Bilik Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, dua pasukan dengan tiga jentera dari Balai Sentral Sibu dan Sungai Merah berjaya mengawal kebakaran dalam masa 15 minit selepas tiba di lokasi pada pukul 10.28 pagi.
   
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
   
Kebakaran itu merupakan kali ketiga melibatkan rumah panjang di sini tahun ini selepas 10 buah keluarga hilang tempat tinggal dalam kejadian di Rh.Franky Bawok di Rantau Panjang, kira-kira 22km dari sini, pada 1 Ogos.
   
Kejadian kedua pada 18 Ogos lepas, seramai 200 penghuni Rh.Das anak Jerman di Stapang, kira-kira 40km dari sini, mengalami nasib yang sama selepas rumah panjang 40-pintu musnah dalam kebakaran tengah hari. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan