PETALING JAYA: Pemansuhan yuran pendidikan sekolah rendah dan menengah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2012 bukanlah yang pertama kalinya dalam sejarah kerana perkara itu pernah dimumkan empat tahun lalu.
Mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah mengumumkan perkara yang sama semasa pembentangan Bajet 2008 dalam usaha menawarkan rakyat pendidikan 100 peratus percuma.
Selain itu, Abdullah pada September 2007 dalam Parlimen turut mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), susulan selepas yuran peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dimansuhkan pada tahun sebelumnya.
Namun penghapusan yuran itu tidak sepenuhnya apabila kerajaan kemudiannya mengesahkan pelajar tetap perlu membayar sebanyak RM4.50 bagi sekolah rendah dan RM9 (sekolah menengah) setahun, manakala yuran lain tidak berubah.
Malah sebaliknya ‘yuran tambahan’ dan ‘sumbangan’ diperkenalkan dengan bayaran antara RM23.50 sehingga RM55.50 setahun, bergantung kepada jenis sekolah seperti yang ditetapkan dalam garis panduan Kementerian Pelajaran.
Najib dalam pembentangan Bajet 2012 petang tadi mengumumkan pemansuhan yuran tahunan kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful bagi pelajar sekolah rendah (RM24.50) dan sekolah menengah (RM33.50).
“Buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah disekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh oleh ahli Parlimen lain dalam Dewan Rakyat.
Selain itu, Najib turut mengumumkan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Peruntukan sebanyak RM530 juta itu membabitkan kira-kira 5.3 juta pelajar seluruh negara dan akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).
Penyunting novel Rusidah Salim, 41, berkata pemansuhan yuran pendidikan itu mungkin tidak membawa apa-apa erti kerana ibu bapa masih menanggung beban kos lain-lain yuran termasuk yuran kelas dan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mencecah sehingga RM80 seorang.
Katanya, mengambil kira peningkatan lain-lain kos yang semakin meningkat termasuk buku latihan beliau terpaksa memperuntukkan sehingga RM400 seorang.
“Biasanya perbelanjaan awal persekolahan mencecah sehingga RM4,000 untuk anak-anak tidak termasuk perbelanjaan untuk pakaian dan peralatan sekolah,” kata ibu kepada lima anak yang masih bersekolah kepada FMT.
Masih kabur
Sementara itu, Naib Pengerusi PIBG Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta berkata bantuan RM100 itu masih kabur kerana tidak dijelaskan secara terperinci sama ada ia diberikan secara tahunan, bulanan, atau sebaliknya.
Namun katanya, ia masih menjadi langkah terpuji kerana kerajaan sebelum ini tidak pernah menawarkan apa-apa bantuan dalam bentuk kewangan selain daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT), susu tambahan, suntikan vaksin percuma, dan lain-lain bantuan.
“Ini pastinya dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan,” katanya kepada FMT.
Beliau bagaimanapun berharap agar pemansuhan yuran itu juga dapat dilaksanakan dengan adil terhadap pelajar kurang mampu yang mendapat pendidikan disekolah bantuan modal apabila masih mengharapkan sumbangan orang ramai melalui Lembaga Gereja.
FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan