*JANGAN ambil ringan pada punggung, sebab anggota bahagian belakang itu – tidak kira bentuk, warna atau ukuran – adalah milik mutlak peribadi, dan bukan untuk dikongsi dengan orang lain.
Ada pun perihal punggung, telah terbukti dulu, kini dan selamanya, sekiranya digunakan secara baik, ia boleh membawa faedah. Tetapi kalau tersilap guna, tidak kira apa cara, boleh membawa padah.
Seorang remaja 19 tahun telah menggunakan punggung tidak pada tempatnya, menyebabkan dia ditahan polis Selasa lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Pendek kata jangan main-main pada punggung, dan jagalah punggung masing-masing!
*ARAKIAN perihal remaja berkenaan rupanya seorang pelajar jurusan multimedia kreatif di sebuah kolej swasta berhampiran Kuala Lumpur. Ternyata dalam hal punggung pelajar semester tiga itu tidaklah begitu kreatif, atau mungkin terlebih kreatif.
Dia dikatakan terlibat dalam insiden menunjukkan punggung ke arah gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, pada perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ di Dataran Merdeka malam merdeka lalu.
Ketika rakyat seluruh negara menyatakan rasa syukur sambil menjeritkan kemerdekaan, remaja berkenaan memilih untuk mempamerkan punggungnya di khalayak ramai. Tidaklah diketahui mengapa dia tidak berasa malu berbuat demikian.
Mudah-mudahan siasatan polis nanti – di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan – dapat mengetahui bagaimana seorang yang waras boleh menayang punggung seperti menayang iPad atau iPod.
Ayah kepada pelajar berkenaan telah pun memohon maaf bagi pihak anaknya kepada Najib, Rosmah dan seluruh rakyat Malaysia.
*ADA pun perihal menonggeng punggung bukanlah sesuatu yang luar biasa di tempat kita. Dulu-dulu hanya orang tidak waras @ gila yang tidak segan silu melondehkan seluar atau kain untuk mempamerkan punggung dan benda-benda lain dalam kain.
Semenjak dua menjak ini orang waras pun gemar menonggeng punggung di khalayak ramai, walaupun tujuannya bukanlah untuk dibuat penilaian punggung siapa yang lebih besar lagi lebih menawan.
Tentu ramai masih ingat insiden bulan Mei lalu, apabila sekumpulan lelaki yang mengaku dari sebuah NGO telah berkumpul di hadapan kediaman Datuk Ambiga a/p Sreenevasan, untuk beraksi menonggeng punggung ke arah rumah tersebut.
Mereka berbuat demikian kerana menentang tindakan Ambiga menganjurkan perhimpunan ‘Bersih 2.0’. Setakat ini tidak ada tindakan ke atas tukang tonggeng tersebut. Apakah tonggeng punggung jenis ini tidak termasuk dalam kategori biadab atau kurang ajar?
Pada hemat saya, tonggeng punggung di tempat umum tidak kira di mana, apa tujuannya – sama ada bertutup atau terdedah – tetap aksi kurang sopan. Maka yang sengaja mempamer punggung di kediaman Ambiga itu pun patut disiasat.
*AKHIR kalam, masih mengenai punggung, akhir-akhir ini ada satu kegilaan baru, terutama dalam kalangan remaja di seluruh dunia, mengenai apa yang disebut ‘gangnam style’. Ini satu lagu Korea dinyanyikan oleh Jae Sang Park atau PSY.
Muzik ini disertai dengan gerak tubuh @ tarian seperti orang menunggang kuda. Sejak disebarkan dalam Youtube, 100 juta orang seluruh dunia telah menyaksi, menikmati, dan meniru penuh semangat tarian ini.
Oleh sebab macam menunggang kuda tentu sekali ada aksi tonggeng dan goyang-goyang punggung. Remaja seluruh dunia, termasuk di negara kita, sudah terikut-ikut gaya gangnam. Ada yang suka, ramai juga yang menentang.
Dulu Inul, penyanyi dangdut dari Indonesia itu pun pernah mencetuskan kontroversi di negara ini, gara-gara punggung. Persembahannya mendapat sambutan yang amat hangat, bukan sahaja sebab dangdut, lebih-lebih lagi gaya dia berpunggung-punggung.
Aksinya di pentas membuat penonton – terutama lelaki – menjerit gila-gila, terutama apabila Inul menggoyang punggungnya bagaikan menggerudi bumi itu. Sebab gaya gerudinya yang hangat itu persembahannya di sini pernah diharamkan.
Sama ada ‘gangnam’ atau ‘gerudi’ dua-dua melibatkan punggung. Bagi yang tidak suka, mereka kata itu aksi kurang sopan. Bagi yang suka @ gila-gila, itu dianggap hiburan dan penuh seni. Dulu-dulu ada seni panggung, sekarang ada seni punggung!
TOK PERAK
9 September 2012
- Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan