Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad |
PASIR GUDANG – Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman akan dipertanggungjawabkan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sekali gus menyebabkan kerusi Parlimen Pasir Gudang jatuh ke tangan pembangkang.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad turut menyokong tindakan menutup sebahagian besar bilik gerakan di sembilan kampung setinggan kelmarin, seperti yang dilaporkan Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, masalah setinggan yang dibangkitkan penduduk telah empat tahun diperjuangkan Pemuda Umno Pasir Gudang, namun tiada tanda-tanda isu itu akan menemui jalan penyelesaian.
“Tindakan ahli parti sehingga sanggup menutup bilik gerakan dalam saat-saat PRU13 semakin hampir, itu sebenarnya rakyat sudah bosan menunggu janji yang sudah terlalu lama dinanti. “MB sudah janji nak selesai...sudah turun padang bertemu penduduk setinggan, tapi masih bermain teka-teki. Sampai bila? Sedangkan rakyat hari ini sudah pandai menilai janji yang ditaburkan pemimpin,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Rohazam berkata, tindakan menteri besar itu dikhuatiri menggugat jumlah undi membabitkan 100,000 pengundi di Pasir Gudang akibat kekecewaan penduduk, sedangkan jentera BN selama ini telah bersusah-payah meyakinkan lebih 54 peratus pengundi Melayu di situ.
Menurutnya, sudah tiba masanya perkara berkenaan diselesaikan kerana rakyat telah terlalu lama disogokkan dengan janji yang dibuat oleh pemimpin utama negeri ini.
“Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga kerana jentera BN di Pasir Gudang sudah lama bersiap-sedia dengan pelbagai program mendekati rakyat, termasuk Pemuda bersama orang muda. “Jika perkara ini tak selesai, jawapannya akan dapat kita tengok pada PRU13. Apa sahaja tindakan pengundi dan apa sahaja yang bakal berlaku kepada calon BN di Pasir Gudang pada PRU13, MB kena bertanggungjawab,” katanya.
Rohazam yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Negeri turut menyelar tindakan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang ingin mengambil tindakan tata tertib dan disiplin terhadap ahli Umno yang menjadi dalang boikot kempen.
Menurutnya, Ahmad diingatkan supaya tidak hanya menunjukkan kuasa dengan kenyataan sedemikian, sebaliknya turun menyelami rintihan penduduk setinggan di Pasir Gudang dan mencari jalan penyelesaian. “Jangan cabar kami dengan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Kalau beliau pemimpin yang berjiwa rakyat, turun ke kawasan kami dan lihat sendiri rintihan penduduk setinggan di Pasir Gudang yang setia menagih janji sejak 13 tahun lepas. “Bantu kami selesaikan kemelut ini, bukannya cuba menunjuk kuasa yang diamanahkan,” katanya.- Sinar Harian.
Orangni: Aku sokong sepenuhnya tindakan UMNO kat Johor tersebut. Tutuplah semua bilik gerakan UMNO diseluruh negara...sebab memang wajar dan amat tepat tindakan sebegitu...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan