MARANG - Seorang pelajar sebuah sekolah di sini, berkemungkinan pekak selepas ditampar guru Isnin lalu. Mohd Jazman Jailani, 15, mendakwa ditampar guru lelaki itu kira-kira jam 11 pagi selepas dia dituduh memancitkan tayar kereta seorang guru perempuan, bersama beberapa murid lain.
Kejadian itu berlaku apabila guru lelaki terbabit mengarahkan dia dan seorang lagi rakannya ke bilik guru untuk disoal siasat berhubung kejadian tersebut. “Apabila tiba di bilik guru, cikgu itu bertanya mengenai tayar kereta cikgu (perempuan) yang pancit minggu lalu.
Saya menafikan saya terlibat. “Dia tidak percaya dan menampar pipi kiri saya dengan kuat. Telinga saya rasa berdengung sampai sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Jazman berkata, dia tidak segera memberitahu ibunya mengenai tindakan guru itu. Ibunya, Norlaila Jusoh, 41, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas anak keempat daripada tujuh beradik itu bangun tidur kira-kira jam 5 petang hari tersebut dan mengadu sakit telinga.
“Saya membawa anak ke Klinik Kesihatan Gong Balai, di sini, sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut. Doktor mengesahkan terdapat kecederaan pada gegendang telinganya,” katanya.
Keluarga Mohd Jazman membuat aduan di Balai Polis Merchang.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat. - Sh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan