Sg Limau menang tanda proses pilihan raya Malaysia sudah adil?
APABILA PAS dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Kedah, ada sesetengah pihak menganggap bahawa telah berlaku keadilan dalam pilihan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan tugas dengan baik, oleh itu demokrasi telah pun berjalan dengan sempurna.
Pandangan itu terlalu salah. PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Sungai Limau bukan berhadapan dengan jentera Umno dan Barisan Nasional (BN), tetapi berhadapan dengan kerajaan.
Lebih daripada RM15 juta diketahui telah dibelanjakan oleh kerajaan dalam pilihan raya Dun Sungai Limau.
Setiap pemimpin Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno datang sebagai menteri, bukan sebagai para petugas parti. Oleh itu mereka menggunakan wang rakyat semahu-mahunya untuk mendapatkan undi.
Manakala di sudut media pula, berlaku ketidakadilan yang begitu ketara. Beberapa kali calon BN wajah dan suaranya keluar dalam saluran televisyen terutama TV3.
Calon daripada PAS tidak langsung suara dan ucapannya keluar dalam saluran televisyen. Setiap kali warta berita, separuh daripada siaran berita itu menyerang PAS dan pambangkang, dan mengangkat Umno dan BN serta kerajaan BN melalui media.
Termasuk media yang dibiayai oleh rakyat sepenuhnya seperti RTM, radio yang dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya.
Pilihan raya ini adalah pilihan raya yang terlalu tidak seimbang. Kemenangan yang dicapai PAS dan Pakatan Rakyat adalah di atas ketahanan ahli dan penyokong dan rakyat yang petugas Pakatan terpaksa memberikan penerangan kepada mereka setiap malam, setiap hari.
Bahkan dalam masa 12 hari berkempen itu, puluhan ceramah terpaksa dibuat untuk memberikan penerangan kepada penduduk dan pengundi di Sungai Limau.
Satu suasana yang paling tidak adil, di mana rakyat di Sungai Limau dan seluruh negara mendengar penerangan Umno dan BN melalui media kerajaan seperti RTM, dan TV lain seperti TV3, surat khabar dan juga lainnya.
Manakala rakyat dan pengundi di Sungai Limau hanya mendengar daripada PAS dan Pakatan Rakyat melalui majlis-majlis ceramah dan risalah-risalah.
Dalam keadaan tidak seimbang begitu, PAS dan Pakatan Rakyat mampu menang dengan lebih daripada 1,000 undi, dan dibuat pula pilihan raya itu pada hari kerja, menyebabkan ramai penyokong tradisi PAS di Sungai Limau tidak dapat pulang. Ini adalah antaranya kerana mereka baru sahaja pulang untuk menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Haji).
Jikalau demokrasi berjalan dengan baik, semua parti boleh akses kepada media dan bertanding di atas padang yang sama; parti lawan parti, kemungkinan majoriti PAS/Pakatan Rakyat melebihi 5,000 undi.
Kemenangan 1,084 undi itu dan kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Kuala Besut pada pilihan raya kecil yang lalu, tidak dapat diukur kesempurnaan demokrasi di Malaysia.
Jauh jika dibandingkan daripada pencapaian atau demokrasi di negara-negara lain, khasnya sekarang ini perubahan politik pilihan raya, perjalanan pilihan raya berlaku di Indonesia, di Thailand, bahkan di Singapura sendiri telah berlaku 'reform' dalam penguasaan media terhadap parti-parti politik, dalam pilihan raya, semasa pilihan raya dan selepas pilihan raya.
Usahlah dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Britain, Perancis dan Jerman.Di kalangan negara Asean, kita ketinggalan. Di mana parti pemerintah menguasai segala-segalanya termasuk wang rakyat, wang kerajaan dihambur sebanyak mungkin sebelum kempen, semasa kempen yang memakan belanja lebih belasan juta ringgit.
Dalam keadaan serba sukar inilah, parti pembangkang bergerak di Malaysia dan dalam pilihan raya umum yang lalu telah mendapat undi popular sebanyak 52 peratus, dan kita akan terus berusaha untuk membuat semua pihak memahami keadaan politik di Malaysia dan 'reform' dalam demokrasi dan keadilan dalam pilihan raya mesti tetap diteruskan oleh semua pihak.
November 17 @ 12:32:16 MYT
Oleh MOHAMAD SABU
Tiada ulasan:
Catat Ulasan