Khamis, 31 Januari 2013

Malang Seorang Mantan Penghulu UMNO di Perak...hidup melarat...

GUNUNG SEMANGGOL - Siapa sangka bekas ketua kampung yang pernah menabur bakti di Kampung Bukit Merah lebih 20 tahun kini hidup melarat tanpa mendapat perhatian daripada mana-mana pihak. 

Mat Yasin Din, 85, yang mesra dipanggil Pak Anjang kini hidup bergantung sepenuhnya pada isteri dan anak bongsunya Ahmad Fizaruddin, 41, yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat. 
Ahmad Fizaruddin (tengah) melihat keadaan ibunya yang juga
kurang sihat sambil diperhatikan Mat Yasin (kanan).
Lebih mengharukan, Ahmad Fizaruddin berkata, dia nekad untuk terus hidup membujang selagi kedua ibu bapanya masih hidup. “Saya mahu pastikan kehidupan ibu bapa saya terurus. “Mereka berdua sudah uzur, siapa lagi mahu jaga mereka kalau bukan saya,” katanya. 

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berkata, dia sedih melihat akan nasib ayahnya kini. “Semasa ayah saya menjadi ketua kampung, dia hanya menerima elaun ketua kampung sebanyak RM300 setahun. 

Mana mungkin wang sebanyak itu memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarga kami yang mempunyai bilangan ramai. 

“Sehingga kini, keadaan kami adik-beradik hanya sekadar hidup sederhana disebabkan bapa saya tidak pernah menggunakan pengaruhnya untuk kepentingan peribadi,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Bukit Merah, di sini semalam. 

Menurutnya, rumah yang diduduki mereka sejak lebih 50 tahun dahulu kini umpama retak menanti belah berikutan sebahagian daripadanya rosak teruk. 
Tandas usang milik mantan Penghulu  sekitar 80'an
Tandas rumah itu juga terlalu usang dan memerlukan kerja baik pulih segera. 

“Sudah banyak jasa ditaburkan ayah saya kepada sebahagian besar penduduk di sini. “Namun amat mengecewakan, hanya beberapa individu sahaja yang peduli dengan nasib ayah apatah lagi hadir melawatnya sejak dia bersara dari jawatan ketua kampung pada tahun 1985,” katanya.   Sementara itu, isteri Pak Anjang, Siti Aishah Kassim, 73, berkata, keadaan kesihatan suaminya kini membimbangkan berikutan mengalami penyakit ingatan tak kekal dan kecederaan usus. 

“Sejak suami saya berhenti kerja di sebuah kilang sepuluh tahun lalu, kehidupan kami sekeluarga agak sukar memandangkan dia sering jatuh sakit dan pernah terlantar di hospital disebabkan ususnya pecah. “Justeru, kami sekeluarga memohon pembelaan dan bantuan daripada pihak berkaitan dan agensi kerajaan terlibat bagi meringankan penderitaan kami,” katanya.- Sinar Harian

Orangni: Slogan Tiada Tertinggal dan Tiada Terpinggir dari MB Zambry hanya slogan auta politik dari UMNO Perak, jika seorang mantan Pengulu yang pernah berjasa pada masyarakat pun terlepas pandang dan tidak dipedulikan..apa lagi rakyat biasa... Memang semuanya tertinggal dan semuanya terpinggir kerana sibuk dengan mengaut kemewahan diri dan kroni sahaja.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan