Published: 19 July 2014
Ketua pramugara MAS Haji Ghaffar Abu Bakar salah satu mangsa yang berada dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 19 Julai, 2014.
Kariah Masjid Bukit Indah, Ampang kehilangan seorang anggota mereka yang disifatkan sebagai pejuang yang menentang penyajian arak di dalam kapal terbang apabila perginya Ketua Pramugara MAS Haji Ghaffar Abu Bakar bersama pesawat MH17 kelmarin.
Menurut rakan-rakan kariah mereka, Allahyarham Ghaffar adalah seorang yang berani melawan perintah syarikat agar tidak menghidangkan arak di dalam penerbangan yang diketuainya.
"Beliau seorang yang suka solat malam, mengaji dalam penerbangan dan menjadi mutawif (pemandu ibadat haji dan umrah) kawan-kawannya semasa umrah," tulis rakannya, Halim Hassan dalam komuniti Whatsapp Masjid Bukit Indah yang kini disebarkan melalui media sosial.
Ghafar adalah ketua pramugara pesawat MH17 yang terhempas selepas ditembak menggunakan peluru berpandu darat ke udara di timur Ukraine dalam perjalanannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Beliau meninggal bersama 298 yang berada di atas pesawat Boeing 777 tersebut.
Turut meninggal adalah kesemua 14 krew MH17 yang bersama Ghafar mengendalikan penerbangan itu.
Menurut rakan-rakan masjid Bukit Indah itu, selain membuat bantahan kepada MAS tentang penghidangan arak di dalam kapal terbang, Ghafar pernah menulis kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para mufti agar mengeluarkan arak dari sajian dalam pesawat MAS.
Ghafar juga, kata Halim, pernah meminta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein agar membenarkan para pramugari beragama Islam untuk memakai tudung semasa bertugas.
"Sekarang salah seorang pejuang dalam jihad kita menentang alkohol dijemput pergi dahulu... tetapi kita akan teruskan perjuangan ini," kata beliau dalam Whatsapp.
Walaupun Malaysia diisytiharkan sebagai negara Islam oleh pemimpinnya, MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan milik negara masih menghidangkan arak dalam penerbangan.
Ia dibuat berdasarkan permintaan dan juga amalan biasa dalam mana-mana syarikat penerbangan utama dunia. – 19 Julai, 2014.
** Artikel ini Orangni terima dari seorang rakan melalui whatsapp.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan