Pengikut

Sabtu, 3 November 2012

Pemimpin PKR diserbu dalam konsert Al-Arqam

Anggota Penguat Kuasa JAIS menghalang bekas pengikut Al-Arqam meneruskan majlis sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari Muhammad dalam serbuan di Bandar Country Homes, Rawang, malam semalam.
SHAH ALAM 03 NOV : Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Badrulamin Bahron yang ditahan di dalam serbuan konsert yang didakwa cubaan menghidupkan kembali kumpulan Al-Arqam menegaskan beliau hanya tetamu biasa syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd, dan bukannya Al-Arqam.


Katanya, beliau pergi ke majlis itu bukan atas jemputan rasmi tetapi kehendak dirinya sendiri bersama isteri dan anak-anak untuk makan malam sambil menikmati persembahan kesenian Islam.

Jelasnya, beliau diletakkan di meja tamu atas rasa hormat penganjur terhadapnya manakala khemah lain tidak mempunyai meja.

“Saya tidak nafikan tiada jemputan rasmi tetapi melalui risalah yang diberi ketika saya membeli-belah di kawasan Global Ikhwan Sdn Bhd.

“Saya hanya ke sana untuk membawa anak-anak saya yang menggemari nasyid dan sekadar makan-makan, itu saja,” katanya dalam satu kenyataan media.

Badrulamin antara kira-kira 30 individu yang ditahan semasa serbuan Jabatan Agama Islam (JAIS) terhadap konsert dan makan malam Global Ikhwan Sdn Bhd pada Nov 1.

Sebelum ini, laporan akhbar mendakwa Badrulamin merupakan tetamu khas ke majlis tersebut yang didakwa sambutan ulang tahun kelahiran Ashaari, pengasas Al-Arqam.

Badrulamin berkata ahli jemaah Ikhwan mengenali keluarganya kerana isterinya sering membeli keperluan dapur di pasaraya Ikhwan dan pakaian di butik Ikhwan.

“Laporan Kosmo yang kononnya saya adalah salah seorang dari Ahli Jawatankuasa Penganjur (AJK) dalam program malam terbabit adalah berniat jahat dan tidak bertanggung jawab.

“Saya langsung tidak ada apa-apa kaitan dengan organisasi Ikhwan, jauh sekali dari memegang sebarang jawatan. Ingin saya jelaskan sekali lagi, kehadiran saya ke program tersebut tidak ada sebarang agenda peribadi mahupun politik,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah akhbar hari ini yang mengatakan dirinya ahli pertubuhan itu.

Global Ikhwan merupakan syarikat yang didakwa mempunyai hubungan dengan gerakan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994./~selangorku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan