Pengikut

Khamis, 6 Jun 2013

Nelayan Makan Ular Untuk Tenaga

PASIR PUTEH - Tanda tanya mengenai penemuan berpuluh-puluh ular dalam bot nelayan Vietnam yang ditahan pihak berkuasa terjawab apabila nelayan terbabit mengaku menjadikannya sebagai makanan.

Reptilia yang hanya dikenali sebagai ’ular pancang’ itu disimpan hidup-hidup dalam bot sebagai menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang berada berbulan-bulan di laut.

Awak-awak daripada bot nelayan Vietnam yang hanya mahu dikenali sebagai Van Nguyen, berkata, risiko bahaya menanti mereka yang keluar lebih seminggu di laut terutama pada musim tengkujuh.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami membawa ular ini bersama kerana saya percaya ia adalah makanan untuk jangka masa panjang dan memberi tenaga, makan sedikit tapi merasa kenyang lebih lama berbanding makanan lain. “Makanan seperti ini penting terutamanya apabila kami mengalami masalah bot dihanyutkan arus laut akibat kerosakan enjin dan sebagainya,” katanya yang dibantu seorang penterjemah.

Dia berkata, ular itu banyak ditemui di delta Sungai Mekong selain di muara sungai dan pinggir pantai. “Daging ular ini sedikit liat tapi tetap enak jika digoreng garing, yang penting ia memberi tenaga untuk kita bekerja dengan lebih baik.

Katanya, hanya segelintir nelayan Vietnam yang enggan menjamah ular tersebut kerana mereka menyangka ular itu mempunyai bisa yang boleh membunuh. “Saya sudah memakannya sejak bertahun-tahun lalu, tidak mendatangkan apa-apa masalah tapi sekiranya anda baru nak mencuba, saya tidak galakkan kerana orang yang menyiangnya mungkin mempunyai petua tersendiri.

“Sebelum keluar ke laut untuk menangkap ikan, kami akan mencari ular tersebut dan jika dapat menangkap jumlah yang banyak, kami menjualnya kepada nelayan lain yang memerlukan,” katanya.-Sh

Tiada ulasan:

Catat Komen