Pengikut

Jumaat, 1 Februari 2013

Rockers diarah periksa otak sebab 13 pertuduhan libatkan RM390,000


Ipoh: Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Hulu Perak didakwa di dua Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas 13 tuduhan menerima wang keseluruhan berjumlah RM390,000 daripada dua individu.

Amir Sharifud-Din Aliman, 59, didakwa menerima wang itu daripada individu berkenaan dipercayai kontraktor balak di Gerik antara April 2010 dan Januari 2012.

Tak faham pertuduhan Bagaimanapun tertuduh menjawab ‘tidak faham’ dan ‘tidak ingat’ bagi setiap pertuduhan dibacakan terhadapnya di kedua-dua mahkamah. Malah, sebelum didakwa, tertuduh menengking jurugambar sambil berkata; “Suruh saya buka seluar ke? Sudah ambil gambar tak cukup ka?” Dalam mahkamah pula, tertuduh memberi amaran kepada wartawan dengan berkata: “Buat laporan baik-baik, aku berdoa, jika tidak akan dilaknat Allah, tujuh keturunan dapat anak cacat.”

Gaya ala rocker - Tertuduh yang tampil dengan gaya ala ‘Rocker’ memakai jaket hitam, seluar panjang gelap, turut ditegur anggota polis yang bertugas dalam mahkamah supaya menanggalkan lilitan sapu tangan di kepalanya.

Di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah, Amir Sharifud-Din dituduh menerima wang RM100,000 dengan tiada balasan daripada Ismail Abdullah Manaf di hadapan Kafe Bawang Merah, No 8281, Jalan Suda Bahagia, Gerik, pada kira-kira jam 9 malam, 3 Januari 2012.

Di hadapan Hakim Madihah Harullah pula, tertuduh didakwa atas 12 pertuduhan menerima keseluruhan RM290,000 daripada Tan Chee Hee, yang semuanya dilakukan di dalam Bilik Pegawai Hutan Daerah Hulu Perak, Gerik, antara jam 8 pagi dan 5 petang.

Semua kesalahan itu dilakukan antara 9 April hingga 24 November 2010 dan 27 Januari hingga 21 Oktober 2011, membabitkan satu terimaan wang RM10,000, RM20,000 (tujuh kali terimaan), RM30,000 (tiga kali terimaan) dan RM50,000 (sekali terimaan). Bagi semua tuduhan berkenaan, Amir Sharifud-Din didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan penjawat awam menerima benda berharga dengan tiada balasan daripada orang yang ada kena mengena dalam apa-apa urusan yang dijalankan oleh penjawat awam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.
Hantar Hospital Bahagia - Hakim kedua-dua mahkamah berkenaan kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan dan pemantauan mental oleh pakar psikiatri dan menetapkan kes itu disebut semula pada 1 Mac ini, menunggu laporan berkenaan.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Saw Hoe Teck memaklumkan kepada kedua-dua mahkamah bahawa doktor Hospital Fatimah Ipoh mengesahkan tertuduh mengalami ‘Kecelaruan Afektif Dwikutub.’ - SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan