Anggota Perhilitan Negeri dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang cuba memujuk ‘Mek’ ketika proses pemindahan dilakukan di Kampung Jalong, pagi semalam. |
Dua gajah denak, Rambai (kiri) dan Kala membantu untuk menggerakkan ‘Mek’ ke lori sebelum dibawa ke Taman Negeri Royal Belum, Gerik untuk dilepaskan. |
Salah seorang penduduk kampung, Mohd Firdaus Gulam Ali, 28, sempat memberi makan kacang kepada Rambai dan Kala. |
Gajah yang diberi jolokan nama Mek berusia lingkungan 15 hingga 20 tahun itu dipindahkan dengan bantuan dua gajah denak betina, Kala dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.
Pengarah Perhilitan Negeri, Abd Kadir Abu Hashim berkata, sebelum ini, gajah berkenaan berjaya dijejaki Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Perak bersama empat gajah lain.
Bagaimanapun menurutnya, dalam operasi 22 Mac lalu, hanya seekor berjaya ditangkap menggunakan ubat pelali sebelum ditempatkan sementara di kawasan kebun itu dengan pemantauan rapi anggota UTG.
“Ini adalah proses pemindahan gajah pertama dilakukan Perhilitan Negeri bagi tahun ini, kali terakhir pada Disember lalu juga membabitkan seekor gajah betina di Lenggong,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sejak awal Mek dilihat seolah ‘menunjuk perasaan’ apabila enggan memberi kerjasama ketika anggota berusaha menggerakkannya beredar dari lokasi penempatan sementara.
Dalam operasi pemindahan bermula jam 10 pagi itu, Mek juga sempat menunjukkan beberapa aksi yang menggambarkan enggan berpindah seperti melutut, duduk dan ada ketikanya tidur sehingga memaksa anggota berusaha keras membawanya masuk ke dalam lori.
Operasi diketuai Ketua Unit Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Nasaruddin Othman itu turut disertai 10 anggota UTG dan lapan dari Pusat Konservasi.
Abd Kadir berkata, buat masa ini, gajah sub dewasa itu akan dipindahkan ke hutan simpan, Taman Negeri Royal Belum, Gerik.
Katanya, anggota UTG diketuai Mohd Hazlin Qozek Aladdin akan meneruskan pemantauan bagi menjejaki baki kumpulan gajah berkenaan yang dipercayai masih berkeliaran di hutan berhampiran.
Jelas beliau, kumpulan gajah itu dikatakan memasuki kawasan kebun dan ladang penduduk setelah Hutan Simpan Korbu yang menjadi habitat haiwan berkenaan terganggu.
“Kawasan kebun dan ladang milik penduduk sudah menjadi habitat baru bagi kumpulan gajah ini dan proses yang boleh kita lakukan bagi mengurangkan ancaman kerosakan ini adalah jejak, tangkap dan pindahkan,” katanya.
Sinar Harian dimaklumkan, kehadiran beberapa kumpulan haiwan gajah sebelum ini menyebabkan 130 keluarga di Kampun Jalong dan Bukit Polis sering gelisah apabila tanaman seperti kelapa sawit dan pisang musnah.
Penyeri penduduk kampung
Kemunculan gajah comel yang ditempatkan sementara di Kampung Jalong, di sini sejak enam hari lalu dianggap sebagai penyeri oleh penduduk kampung.
Selain menjadi tempat tumpuan, gajah berkenaan juga dijaga ibarat haiwan peliharaan apabila dengan rela hati penduduk kampung menyediakan keperluan makanan termasuk memandikan gajah berkenaan.
Seorang penduduk, Mohd Nasir Zakaria, 54, berkata, meskipun pada awalnya kemunculan kumpulan gajah menimbulkan kemarahan penduduk kerana mengalami kerosakan tanaman, namun kemunculan Mek menyebabkan mereka jatuh kasih dengan haiwan herbivor itu.
Katanya, setiap masa, penduduk kampung tidak putus-putus memberi bekalan makanan seperti tebu dan batang pisang.
“Sejak mula dah nampak jinak, dah jadi sebahagian daripada kami, gajah ni menjadi penyeri kami selama enam hari ini.
“Selepas ini kami semua pasti rindu akan kehadirannya, sedih memang sedih, namun pemindahan ini untuk keselamatannya juga,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Harizan Abd Hamid, 53, berkata, keadaan di kebun berkenaan tidak ubah seperti zoo meskipun secara nyata hanya seekor gajah ditempatkan di situ.
Katanya, baik dewasa, orang tua apatah lagi kanak-kanak sering bermain dengan gajah berkenaan dengan memberi makanan dan menjirus air bagi tujuan mandi.
“Boleh dikatakan penduduk di sini dah biasa dengan kehadiran gajah, budak-budak pun tak takut, ibarat kata orang boleh dibuat kawan,” katanya.
Bagi Abu Kassim Talib, 60, pula, gangguan gajah di kampung berkenaan semakin ketara lewat dua tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, keadaan itu sedikit berbeza berbanding 20 tahun lalu apabila kelibat gajah hanya boleh dilihat sekali-sekala.
“Gajah ini datang secara berkumpulan kadang-kadang berada terlalu dekat dengan lokasi kebun, tetapi setakat ini belum pernah lagi sehingga mencederakan penduduk kampung,” katanya.- Sinar harian
Info
10.22 pagi: Mek diberikan ubat pelali di bahagian paha sebelah kanan
10.45 pagi: Ubat anti-pelali diberikan di bahagian telinga kiri bagi memudahkan proses pemindahan
10.50 pagi: Proses memasukkan Mek ke dalam lori bermula setelah berjaya dibawa keluar dari lokasi penempatan sementara
12 tengah hari: Mek berjaya dibawa keluar dari lokasi Hutan Jalong untuk dipindahkan ke lokasi lebih selamat menaiki lori Unit Pengurusan Gajah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan