PARIT BUNTAR, 10 Mac: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim (gambar) menyifatkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai memalukan diri sendiri kerana menganggap kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak realistik.
Beliau mengulas kenyataan Rais yang mengatakan Nik Aziz tidak realistik dengan menyatakan media yang berat sebelah adalah punca kekalahan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau pada Ahad lepas.
“Rais perlu bersikap lebih realistik dalam membuat sebarang penilaian, jika benar Malaysia adil dalam pengamalan kebebasan media, beri laluan kepada wakil parti Pakatan Rakyat membuat liputan media sepertimana BN diberi liputan meluas oleh media RTM dan lain-lain stesen tv," katanya.
Tambahnya, BN takut hilang kuasa serta jawatan, maka dengan alasan gila kuasa itu, rakyat yang menjadi mangsa.
Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, Rais sebetulnya yang memperkudakan RTM dan lain-lain serta media cetak untuk memastikan BN terus menang.
“Dakwaan Menteri Besar Kelantan benar dan berasas, kita ada bukti, jika tidak mengapa indeks kebebasan media negara kita sama dengan Zambia?” soalnya.
Katanya, jika rakyat membuat keputusan di kertas undi berdasar maklumat yang menyeluruh, BN pasti sudah lama tersungkur.
“Saya ulangi sekali lagi, indeks kebebasan media telah meletakkan Malaysia berada dalam tahap not free, lalu isu ini telah terjawab dengan sendirinya.
“Beri kebebasan media yang mutlak adalah punca kehancuran BN, dan sekat kekebasan adalah survival BN di Malaysia, maka dengan fakta ini rakyat diharap boleh berfikir secara bijak,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyatakan, Pakatan boleh membuktikan, di Lembah Klang, rakyat telah menolak BN kerana maklumat melalui media baru facebook, twitter dan blog membangun dengan pesat dan sampai kepada rakyat.
“Selangor BN tewas, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pun BN tewas teruk,” jelasnya lagi.
Di Selangor Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Negeri, begitu juga di Wilayah Persekutuan yang mana Pakatan Rakyat menguasai kerusi-kerusi parlimen, DAP 5 kerusi, PKR (4) dan PAS (1), BN hanya Zulhasnan Rafique yang mewakili Setiawangsa.
“Oleh sebab itu, BN akan cuba apa cara sekali pun untuk bertahan termasuklah menyebarkan fitnah, bohong rakyat, perudi rakyat serta perkuda jentera kerajaan untuk kepertingan survival parti BN.
“Jika dibiarkan BN berkuasa , lama-lama rakyat semakin susah, yang senang lenang siapa?
“Sudah pasti pemimpin BN dan kroninya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan