Pengikut

Isnin, 19 Ogos 2013

Terkini..!!! Petronas menipu lagi kaum Penan Sarawak

MIRI: Kira-kira 100 orang kaum Penan dari Long Meraan, Sungai Magoh berhimpun mendirikan beberapa sekatan jalan di jalan utama menghala ke Kampung Long Seridan, Hulu Sungai Tutoh, Baram, Jalan Sawa’, Simpang Alim Patah dan Simpang Sungan.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) SM Mohamed Idris dalam kenyataan medianya memberitahu, pihaknya menerima laporan bahawa sekatan itu didirikan bagi membantah dan menyekat operasi pemasangan Paip Minyak dan Gas Sabah- Sarawak yang dijalankan oleh sebuah syarikat kontraktor Petronas.

Beliau memberitahu, sekatan ini didirikan ekoran kegagalan syarikat terbabit mengambil perhatian dan tanggungjawab terhadap beberapa aduan dan bantahan yang dikemukakan oleh penduduk kampung.

“Penduduk kampung mendakwa bahawa kontraktor berkenaan gagal mematuhi beberapa perkara seperti yang telah dijanjikan oleh pegawai-pegawai Petronas dalam beberapa dialog yang diadakan sebelum ini. “Maklumat awal pihak perwakilan syarikat dan pegawai perhubungan awam Petronas tentang garisan paip minyak dan gas Petronas adalah diberitakan sebagai terhad sehingga 40 meter lebar sahaja.

“Selain itu, syarikat terbabit juga berjanji mengelakkan kemusnahan alam sekeliling termasuk pencemaran dan kerosakan sungai-sungai,” kata kenyataan itu.

Malangnya, menurut Ke tua Kaum Penan Long Meraan Belaweng Turau selaku wakil penduduk, operasi pemasangan paip tersebut telah menjejaskan kehidupan harian mereka. “Kerja-kerja pemasangan paip ini telah menyebabkan kemusnahan hasil-hasil hutan dan pencemaran teruk sungai-sungai, menjejaskan sumber pendapatan, bekalan air bersih dan kualiti kehidupan para penduduk,” ujar Belaweng.

Sementara itu, pada 8 Ogos lalu, beberapa pihak telah datang melawat kawasan sekatan, termasuk wakilwakil daripada syarikat subkontraktor Petronas, pegawai perhubungan awam Petronas, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Miri serta pegawai polis. Pegawai JTS Bahagian Miri dilaporkan telah mengarahkan penduduk kampung membuka sekatan sebagai syarat untuk mengadakan perundingan.

Namun penduduk kampung menolak dengan lembut dan menjelaskan bahawa mereka telah sekian lama menjemput pihak berkuasa dan syarikat Petronas sendiri untuk menyelesaikan isu tersebut tetapi aduan dan bantahan mereka langsung tidak diendahkan selama ini.

Selang beberapa hari kemudian iaitu pada 12 Ogos lalu, sekali lagi pihak-pihak berkenaan datang ke kawasan sekatan tetapi kali ini diwakili orang lain.

Seorang wakil dari pihak subkontraktor dilaporkan telah mengarahkan penduduk kampung untuk membuka sekatan. Beliau meminta penduduk kampung membuka sekatan selama 15 hari bagi membolehkan pihak syarikat menjalankan kerja dan aktiviti mereka.

Beliau menambah bahawa pihak syarikat akan membayar sejumlah RM1,000 kepada pihak kampung untuk setiap hari selama 15 hari mereka bekerja dan sekiranya pihak syarikat gagal membayar sejumlah RM15,000 seperti yang dijanjikan, penduduk kampung boleh mendirikan semula sekatan tersebut.

Namun, penduduk kampung bertegas untuk meneruskan sekatan mereka selagi permintaan-permintaan mereka tidak dipenuhi. Antara permintaan utama kaum Penan di Long Meraan ialah pihak Petronas bertanggungjawab mengkaji semula dan mencari alternatif lain yang dapat mengelak dan mengurangkan kemusnahan alam sekeliling termasuk sungai-sungai yang merupakan nadi kehidupan mereka.

Pihak Petronas juga diminta bertanggungjawab dan harus menyediakan bekalan dan saluran air bersih kepada Kampung Long Meraan kerana sumber air utama Long Meraan telah tercemar disebabkan aktiviti Petronas.

“Petronas perlu memberi arahan yang tegas kepada pegawai-pegawai syarikatnya atau syarikat subkontraktor mereka untuk mematuhi garis panduan menurut perjanjian awal seperti yang telah dimaklumkan oleh pegawai- pegawai Petronas sendiri sebelum ini. “Selain itu, Petronas perlu membayar ganti rugi yang setimpal dengan kerosakan dan kemusnahan alam sekeliling serta keperitan hidup kaum Penan.

“Pihak Petronas sepatutnya memberikan keutamaan kepada kaum Penan dan melihat perkara ini dari sudut perikemanusiaan dan bukannya keuntungan pihak mereka semata-mata,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, sekatan jalan masih berterusan hingga ke hari ini ekoran pihak syarikat masih berdegil dan tidak mengendahkan aduan daripada penduduk Kampung Long Meraan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan