Pengikut

Khamis, 9 Ogos 2012

Sebangsa, Senegara, Sejiwa

Maksud Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

SEBANGSA:Dalam setiap kelompok manusia memang sentiasa wujud kerinduan akan kesatuan, malah kesebatian, demi kekuatan, kedamaian dan kesejahteraan hidup mereka sebagai satu bangsa.Begitulah juga keadaan kita sejak mencapai kemerdekaan negara—mewakili 14 negeri yang disatukan—selama lebih lima dekad ini. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum itu kini masih terus merindukan persahabatan dan perpaduan sedemikian demi kedamaian dan kehidupan bersamanya.Maka itulah sangat wajar sekali rakyat Malaysia terus berupaya untuk bersatu demi mencapai cita-cita murninya bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia baru yang tulen dan utuh.

SENEGARA:Selama lebih setengah abad ini tampaknya rakyat Malaysia masih juga lambat berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang padu dan syahdu. Pada ketika-ketika yang genting dan tak tersangkakan tampaknya sentiasa wujud segelintir pemimpin siasah yang masih juga sengaja tergamak membelah negaranya dengan coba menyalakan semula api perkauman yang berbahaya itu.Hingga ke akhir-akhir ini pun, tampaknya, masih terlihat juga wujudnya segelintir pemimpin sedemikian yang sengaja ghairah cuba menyalakan api perkauman yang mudah meretakkan negara.Maka itulah sudah sampailah waktunya semula bagi rakyat Malaysia untuk terus tulus berazam bantu membina sebuah negara Malaysia yang padu dan luhur.

SEJIWA:Bangsa dan negara baru biasanya sangat mudah rapuh untuk diretakkan apabila tiada suatu ikatan rohani dan benteng kemurnian jiwa di antara rakyatnya. Memang kitaselalunya amat mudah memperalat—juga diperalat—pelbagai istilah muluk yang merosak demi faedah peribadi dan kelompok ke atas sebuah negara, apalagi negarayang baru setengah abad tercipta.Terakhir ini memang terserlah benar kecenderungan yang negatif ini sehingga memerlukan kita agar lebih waspada dan waras bertindak bagi memelihara bangsa dan negara yang baru tercipta itu.Kita memerlukan keazaman dan kekuatan batin, keutuhan dan kemurnian jiwa, untuk memelihara kedamaian bangsa dan negara. Untuk tujuan murni itulah makanya kita amat perlu menjaga dan mengisi cita-cita bangsa yang murni. Untuknya, kita perlu cekal sejiwa.

Oleh : Pak Samad Said


Tiada ulasan:

Catat Ulasan