Gambar dibawah: Seorang kakitangan Pos Malaysia memeriksa surat-surat yang dilambak oleh posmen di Ukay Heights, Ampang, Selangor:-
KUALA LUMPUR: Di sebuah kawasan tersembunyi berhampiran kawasan perumahan mewah di Ukay Heights, Ampang, adalah sebuah gaung hijau dengan tumbuh-tumbuhan subur tetapi dicemari dengan ‘rahsia hitam’.
Tapak itu dikenal pasti telah menjadi tempat lambakan surat oleh posmen yang tidak bertanggungjawab yang menjadikan tempat terpencil itu untuk membuang surat-surat yang tidak dihantar. Pada Sabtu, dua orang penduduk menjumpai beribu-ribu surat yang tidak dihantar di dalam gaung dan menghubungi ‘The Star’, yang seterusnya dimaklumkan mengenai posmen yang lalu di kawasan itu.
Salah seorang daripada mereka, Ismail W.O berkata beliau sedang memandu melepasi kawasan itu dan melihat tiga orang posmen sedang lepak di tepi jalan di sebelah gaung.
“Saya tertanya-tanya apa yang mereka sedang buat sedangkan tiada kawasan perumahan di sekitar kawasan itu tetapi tidak terus bertanya dan meneruskan perjalanan. “Kemudian saya teringat bahawa saya tertinggal sesuatu dan berpatah balik. Saya terkejut melihat beg besar yang sebelumnya penuh berisi surat telah kosong.
Ia hanya beberapa minit yang lepas,” katanya.
Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, beliau memaklumkan perkara itu kepada pengerusi persatuan penduduk, William Atyeo yang memanjat kawasan gaung tersebut dan menemui ribuan sampul surat yang bertaburan.
Pemeriksaan secara kasar menunjukkan beberapa surat telah berada di situ sejak beberapa tahun lalu dan lupus akibat hujan. Surat-surat itu sepatutnya dihantar ke Ampang Jaya, Ukay Heights dan kawasan-kawasan perumahan di sekitarnya. “Terdapat cek, bil, penyata bank, surat maklum balas dan banyak lagi,” kata Ismail.
Beberapa penduduk telah mengadu mereka tidak menerima surat yang sepatutnya diterima seperti bil telefon dan bil TV berbayar, kata Atyeo. Setelah dimaklumkan, Pos Malaysia menghantar pasukan ke tapak dimaksudkan.
Pekerjanya mengenal pasti kebanyakan surat adalah dari dua lokasi berhampiran di sepanjang Jalan Tebrau 1. Ketua Operasi Pos Malaysia, Helmi Hashim berkata tiga posmen terbabit telah dikenal pasti dan akan dipecat. -mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan