DAP persoal ‘keimanan’ Hasan
SHAH ALAM – Seorang pemimpin kanan DAP mempersoalkan ‘keimanan’ bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kerana tindakannya melempar tuduhan yang dianggap melulu terhadap Pakatan Rakyat (PR).
Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, jika Hasan seorang yang baik dan beriman, beliau tidak menuduh PR bercita-cita, mahu menjadikan Malaysia negara republik, sekali gus menggugurkan Perkara 153 Perlembagaan Negara yang menjamin hak dan keistimewaan orang Melayu.
“Tuduh itu tidak logik, jauh panggang dari api. Dia hanya mahu mengapi-apikan sentimen rakyat supaya membenci PR,” tegasnya.
“Sekarang dia cakap ikut sedap mulut saja, tipu orang sana sini, seolah-olah dia tahu semua perkara. Orang macam ini tak boleh pakai sebab suka menipu,” katanya Ahli Parlimen Kepong itu.
Menurutnya, jika Hasan seorang yang beriman, beliau tidak akan melemparkan tuduhan melulu serta tidak berasas terhadap orang lain.
“Saya mewakili DAP menafikan tuduhan beliau. Kita semua tahu kenapa dia dipecat.
“Kalau Pas sendiri pecat Hasan, kita pun tahu Hasan jenis orang macam mana dan sekarang siapa dia untuk bercakap tentang Pas? Beliau tidak ada jawatan lagi dalam Pas dan kenyataannya tidak menggambarkan kenyataan parti itu,” tegasnya.
Seng Giaw berkata, bukan sahaja Pas, malah DAP dan PKR juga berjuang pertahankan Perlembagaan Negara.
“Hasan hendak cari populariti sebab itulah tuduh kami macam-macam. Sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya, keutamaan kami adalah mempertahankan kedaulatan undang-undang, bukan meminda.” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, Hasan tidak layak bercakap mengenai hal itu kerana beliau (bekas) anggota Pas.
“Saya tidak mahu ulas lagi mengenai dakwaan, kononnya PR berhasrat menggugurkan Perkara 153 dan menubuhkan negara republik.
“Kalau hendak tahu lagi mengenai perkara ini, tanya Hasan sahaja. Saya tidak mahu cakap,” katanya.
Menurutnya, sebagai bekas ahli Pas, kenyataan Hasan tidak patut diulas oleh pemimpin PAS. -SH
Hasan Ali ‘Budak Suruhan’ Umno Yang Tak Boleh Dipercayai Oleh : Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM 2 FEB : Agenda sebenar Dr.Hasan Ali sudah jelas terbongkar dengan kenyataan terbarunya yang dangkal, bebal dan berasaskan fitnah semata-mata seraya menzahirkan beliau adalah orang suruhan Umno ,tegas Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari.
Menurut Zairil, semasa berceramah di Bangi baru-baru ini dilaporkan Hasan berkata apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah republik. Di samping itu, Hasan Ali juga mendakwa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.
“Motif politiknya sebagai orang suruhan UMNO sudah terbongkar. Saya berasa kesian kerana Hasan Ali terpaksa menjual harga dirinya dengan menipu rakyat untuk mendapatkan publisiti murahan.
“Katanya memperjuangkan Islam, tetapi yang keluar dari mulutnya bukan sahaja fitnah yang bahaya tetapi juga merupakan sindiran yang menderhaka dan berunsur hasutan yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman,” kata Zairil dalam kenyataan medianya.
Menurut Zairil, beliau percaya taktik fitnah taraf UMNO ini tidak akan dipercayai umum. DAP adalah sebuah parti yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengambil pendirian yang mencabar teras-terasnya.
Sebagai bukti pendirian DAP dalam mempertahankan kerangka kenegaraan yang sedia ada, termasuk sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,
Tiga perkara yang terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang baru sahaja dibentangkan, dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara oleh para pewakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2012 Disember lepas.
1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
Petikan di atas jelas membuktikan komitmen DAP untuk menjunjung dan mempertahankan teras-teras Perlembagaan Persekutuan.
“Dan jika benar DAP mempunyai hasrat untuk merendahkan status Islam, kenapakah Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pulau Pinang meningkatkan berkali-kali ganda peruntukan tahunan untuk hal ehwal Islam?
Kenapakah di Pulau Pinang jauh lebih banyak bantuan diberi berbanding dengan Kerajaan BN untuk pembesaran tapak perkuburan, pembangunan Sekolah Agama Rakyat dan program-program sambutan kebesaran Islam? ” ujar beliau.
Tambah Zairil, dengan fitnah dan tuduhan yang melampau ini, peranan Hasan Ali sebagai musuh dalam selimut sudah tidak diragui.
“Sesungguhnya seseorang yang begitu cepat berpaling tadah dan menyongsangkan pendiriannya tidak layak dipercayai,” katanya. -selangorkini
Fokus PRU-13, tak perlu layan Hasan Ali
KUALA LUMPUR, 2 Feb: Semua ahli PAS diseru memberi fokus kepada persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 dan tidak perlu melayan isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas Exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Hasan berhak memperkatakan apa sahaja yang beliau mahu namun PAS tidak akan melayannya, lebih-lebih lagi bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu juga sudah dipecat dari parti itu.
"Kita ambil sikap tak layan lah sebab kita anggap dia bukan lagi ahli PAS dan dia nak kata apa pun itu pandangan dia.
"Dalam konteks parti ini bukan tumpuan utama buat masa ini sebab seluruh jentera kita harus fokus kepada pilihan raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pendirian PAS terhadap siri jelajah oleh Dr Hasan yang antara lain menyerang beberapa pimpinan parti itu.
"Walau apapun, kita akan pantau perkembangan dia (Hasan) dan bagaimana serangan dia kepada PAS.
"Kalau kita lihat serangan itu bersifat fitnah atau sebagainya, kemungkinan ada pihak akan ambil tindakan undang-undang secara peribadi," katanya.
Mengulas penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jati oleh Dr Hasan pula, Tuan Ibrahim yakin ianya tidak menjejaskan PAS sama-sekali.
Malah sebagai sebuah negara demokrasi, Dr Hasan sememangnya berhak berbuat demikian dan PAS sama sekali tidak menghalang.
"Nak tubuh NGO Jati ke apa ke, ikut dia la sebab negara kita dasar terbuka dan dia bebas untuk tubuhkan apa-apa dia mahu," tegas Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim ketika mengulas perkara itu kepada beberapa media sebelum ini berkata, penubuhan NGO Jati itu juga bukan satu ancaman kepada PAS.
Malah beliau juga yakin ahli PAS sendiri tidak mudah terpengaruh dengan isu yang dibawakan Dr Hasan itu.
Tuan Ibrahim berkata, melalui tinjauan yang dijalankan dalam kalangan ahli parti, penubuhan Jati dan pelbagai isu yang dibawakan Hassan tidak menjejaskan pendirian dan kesetiaan ahli terhadap parti.
“Buat masa ini, kita tidak mahu melayan dan rasa terganggu dengan ‘kemuncup’ yang ada,” katanya. -HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan