Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, anggota polis mengundi BN kerana bimbang dianggap "derhaka dan tidak bersyukur" sekiranya mengundi pembangkang.
Fauzi yang menyertai PAS Mei lalu berkata perkara itu timbul kerana "keterikatan" anggota polis kepada kerajaan yang membayar gaji dan elaun kepada anggota pasukan terbabit.
"(Ramai anggota polis) berpandangan gaji, elaun dibayar oleh kerajaan. (Mengikut) fahaman kita, kerajaan adalah tak boleh selain daripada BN."Lantaran itu, (mengikut) fahaman kita, dalam keadaan mengundi, siapa yang tidak mengundi BN itu... akan dianggap sebagai derhaka, atau tidak berterima kasih atau bersyukur kepada orang (kerajaan) yang beri elaun, gaji beri kita makan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Tegasnya, kerajaan dan parti adalah dua perkara yang perlu dibezakan dan anggota polis berhak membuat pilihan masing-masing bagi memilih parti tertentu untuk menerajui kerajaan dalam pilihan raya."Kita boleh pilih mana-mana (parti), yang lebih baik, telus, jujur, berpegang amanah, tidak menekan (dan) tidak rasuah."Jadi, jangan ada kekhuatiran, kita nak sokong parti lain, (menyebabkan) kita akan dilabel khianat, derhaka. Tidak timbul sama sekali.
Sepatutnya semangat sebegini ada," katanya. Ditanya sekiranya kerajaan memberi tekanan kepada anggota polis supaya menyokong BN dalam pilihan raya, bekas ketua polis Selangor itu berkata perkara itu tidak berlaku.Namun, selagi anggota polis atau penjawat awam lain bekerja dalam kerajaan, mereka perlu mematuhi peraturan, garispanduan operasi atau perintah yang telah ditetapkan, katanya.
Jika anggota polis menyatakan sokongan politik secara terbuka kepada parti tertentu pula, mereka juga dianggap "mengingkari peraturan umum", katanya."Kerajaan mengikat kamu, kamu kena patuh, kena berkhidmat.
Tetapi dalam berkhidmat, tidak ada unsur-unsur supaya memihak. Tidak (ada). (Polis berkhidmat) untuk semua rakyat, (dengan) adil. Jadi kita kena adil," katanya. Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya dalam pasukan polis, Fauzi juga pernah menjadi ketua polis Sarawak.
Sumber Mk