Pengikut

Selasa, 28 Mei 2013

YB Naik helikopter Tengok Rakyat Naik Bot Karam

BELAGA: Seramai 23 penumpang dikhuatiri hilang dalam tragedi bot ekspres karam di Tanjung Tukok Punyang Gian, Batang Rajang, semalam. Ketika kejadian bot ekspres malang itu dalam perjalanan dari Belaga menuju ke Kapit.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata seramai 181 mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai dari bot ekspres Kawan Mas yang dikatakan sarat dengan penumpang.

Kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 8.45 pagi selepas bot lebih muatan penumpang itu bertolak dari pekan Belaga pada jam 8 pagi dan sebelumnya berlepas dari Bakun pada 7 pagi.

Bot ekspres itu mempunyai muatan setakat 75 orang. Kebanyakan penumpang yang merupakan pekerja pembalakan dan ladang sawit dikatakan dalam perjalanan pulang bercuti sempena Hari Gawai pada hujung minggu ini.

Semua 181 mangsa yang selamat itu kini ditempatkan di dua rumah panjang tidak jauh dari kawasan kejadian, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot ekspres dari pekan Belaga. “Kami masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat mereka yang hilang,” katanya ketika dihubungi sambil menambah, bot ekspres itu mengalami masalah enjin selepas melanggar kayu sebelum terbalik.

Sepasukan anggota SAR melibatkan anggota polis Kapit dan pegawai perubatan Hospital Kapit turut dikejarkan ke tempat kejadian.

Kejadian malang itu mengulangi tragedi bot ekspres karam di Sungai Anap, Bintulu pada Oktober 2010.

Insiden malang itu disaksikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Liwan Lagang ketika beliau menaiki helikopter dalam perjalanan dari Belaga ke Kuching.

“Saya ternampak bot ekspres karam dan helikopter kami turun di kawasan berhampiran dan membantu. “Dengan bantuan penduduk berdekatan kami berjaya menyelamatkan kira-kira 100 orang mangsa. “Kami telah berjaya menghantar pulang hampir kesemua yang terselamat ke rumah panjang masing-masing menggunakan beberapa bot,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar bantuan asas termasuk menghantar kakitangan keselamatan serta kecemasan bagi membantu mangsa-mangsa yang terselamat.

Liwan memberitahu, hampir 20 bot persendirian serta para penghuni rumah panjang yang berdekatan telah turut membantu semasa operasi mencari dan menyelamat. Selain itu beliau turut memberitahu bahawa sebuah kapal yang kebetulan lalu di kawasan tersebut telah turut memberi bantuan dalam operasi yang berakhir pada lewat petang.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang membantu dan memberi kerjasama dalam operasi mencari dan menyelamat di mana mereka telah bertindak dengan pantas bagi membantu mangsa-mangsa,” katanya. - Bp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan