Pengikut

Jumaat, 28 Jun 2013

Apa hal Najib..?? JKKK di Pahang dah hilang sabar...!!! Projek RM11.3 juta tetapi tidak memberi manfaat

ROMPIN – Peserta Projek Tanah Kelompok Paya Setajam dan Fasa Kedua Sarang Tiong Setajam berang berikutan tali air yang dibina tidak mengikut spesifikasi ditetapkan sekali gus tidak dapat menyalurkan air ke seluruh lot sawah seluas lebih  1,160 hektar.

Pesawah mendakwa, tali air yang dibina tidak dapat menyalurkan air ke lot sawah di kawasan tanah tinggi dan keadaan bertambah buruk terutama pada musim kemarau kerana tanaman menjadi kering-kontang akibat kekurangan sumber air.   

Biro Pertanian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sarang Tiong, Mat Mat Sarip, 63, berkata, kebanyakan pesawah bergantung kepada bekalan air yang disedut daripada parit air namun ia masih belum mencukupi untuk menampung sumber air yang diperlukan di kesemua lot sawah terbabit. Menurutnya, kerja mengepam air daripada parit terbabit turut membebankan pesawah kerana memerlukan kos yang tinggi.

“Hanya pesawah berkemampuan sahaja boleh melakukan proses mengepam air itu kerana pam perlu disewa dengan kos yang tinggi. “Kalau pun mereka berkemampuan untuk menyewa pam itu, mereka tetap kena buat banyak kerja dan keadaan menjadi rumit kerana memerlukan masa yang lama dan ramai pekerja untuk menyalurkan air ke lot sawah,” katanya.

Pendapatan merosot teruk Mat turut menjelaskan bahawa ramai petani terpaksa menanggung bebanan hutang kerana mereka perlu mendapatkan bekalan benih padi daripada PadiBeras Nasional Bhd (Bernas) dan menyewa jentera bajak untuk menggemburkan tanah.

Katanya, masalah ini berpunca daripada kekurangan modal pusingan untuk membeli benih berikutan padi yang ditanam tidak menjadi akibat ketiadaan bekalan air. “Kebiasaannya, pakcik boleh dapat RM5,000 bagi tempoh empat bulan lebih tetapi sejak berlaku masalah tali air ini, pendapatan pakcik merosot teruk. Sekarang hanya boleh dapat RM3,000 sahaja. “Belanja bulanan keluarga terjejas kerana pakcik ada anak yang masih bersekolah, isteri pula suri rumah.

Memang perit nak tanggung belanja barang dapur, bil, sewa dan keperluan sekolah anak-anak,” katanya.

Dia yang juga Ketua Blok A Projek Tanaman Padi Paya Setajam berkata, masalah tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) namun sehingga kini masih tiada tindakan diambil.

“Pakcik sudah mengadu hal ini kepada JPS tetapi mereka maklumkan kepada kami yang JPS tidak boleh buat apa-apa kerana projek tali air ini belum diluluskan lagi,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Setajam, Muhamad Aw Kechik, berkata, hanya 15 peratus sahaja lot sawah yang mendapat bekalan air manakala 85 peratus lagi bergantung kepada usaha pesawah sendiri seperti menggunakan pam air.

“Kami terpaksa mengepam air dari parit buangan (empangan) ke bendang tetapi sumber air di parit itu sudah semakin surut, kami risau kerana sumber air memang tidak cukup,” katanya.

Setiausaha JKKK Sarang Tiong, Nizam Abdullah berkata, lot sawah di sini merupakan kawasan jelapang padi, justeru adalah menjadi tanggungjawab JPS untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera. Menurutnya, pesawah menggesa JPS dan Jabatan Pertanian membuat pemantauan secepat mungkin dan mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Sudah enam tahun kami bertahan dan kali ini kami sudah hilang sabar dengan masalah tali air ini. Nak kata kami tak buat aduan, sudah banyak kali hal ini diusulkan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit untuk menjayakan projek tanaman berkelompok ini namun hasilnya amat mengecewakan.

"Kami rayu campur tangan kerajaan agar selesaikan kemelut ini. “Kalau agensi kerajaan yang terbabit nak pantau, datang dalam masa terdekat kerana sekarang musim kemarau. Jadi, mereka boleh lihat masalah kami selama ini,” katanya.

Difahamkan, projek pembinaan tali air bagi kawasan fasa kedua Sarang Tiong Paya Setajam ini menelan belanja RM11.3 juta tetapi tidak memberi manfaat yang sepatutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan