Pengikut

Sabtu, 12 Januari 2013

Di Atas Padang Sejarah HKR KL112 - Pak Samad


Sajak yang dideklamasikan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) KL112 di Stadium Merdeka oleh Sasterawan Negara, A Samad Said.

Di Atas Padang Sejarah

Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.

Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.

Diri kita amat padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyubur kuning berseri.

Kita, tenaga jati, gah berjuang demi keadilan,
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.


-A.Samad Said


Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said  Sasterawan Negara Malaysia semalam didalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) KL112 begitu terharu kerana pembaca PUISI sepertinya telah diangkat dan diberi peluang berpuisi demi menuntut keadilan dinegara ini. 

Pak Samad juga tidak menyangka rupa-rupanya Puisi boleh diangkat dan menjadi senjata dalam perjuangan dinegara ini dalam menghancurkan kezaliman. 

"Di usia saya  78 tahun, ini-lah kali pertama saya membaca Puisi dihadapan hadirin sebegini ramai"- Ujar Pak Samad diatas pentas HKR semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan